Monday, September 05, 2011

KOSTEM : Jom Realitikan

KEMASKINI 7/09/2011

Bakal anggota dari Selangor telah mencapai minima yang diperlukan. Terima kasih kepada anda semua.

---

Sudah hampir empat bulan setelah entri pengenalan KOSTEM di blog Ubuntu Untuk Malaysia ini. Dan saya akui, empat bulan merupakan satu tempoh yang sedikit lama untuk mengemas kini apa yang terbaharu berkenaan KOSTEM. Sudah daftar kah? Perniagaan telah dijalankan kah? Sudah ada keuntungan kah? :)

Untuk pengetahuan pembaca dan bakal stakeholder, KOSTEM masih tidak lagi berdaftar sebagai satu koperasi yang sah untuk beroperasi. Ini kerana kami mengalami beberapa halangan kecil yang merencatkan proses tumbersaran menjadikan KOSTEM entiti yang sah beroperasi di Malaysia.

Sedang gigih menyiapkan slaid pembentangan KOSTEM pada MOSC 2011 yang baru berlalu. Dek kerana kesilapan teknikal, terpaksa buat balik...


Pada pandangan peribadi saya, perkara yang menjadikan KOSTEM masih tidak dapat didaftarkan adalah mereka yang berminat masih tidak mencapai minima yang telah digariskan SKM. Pada mulanya saya yang 2,3 kali berulang alik ke pejabat SKM diberitahu bahawa sesebuah koperasi boleh didaftarkan dan beroperasi melangkaui negeri. Ini bermakna KOSTEM didaftarkan di Kuala Lumpur (ibu pejabat) dan keanggotaan terbuka kepada semua semua orang, tidak dibatasi sesuatu wilayah atau negeri. Namun tidak berapa lama kemudian kami memperolehi maklumat daripada seorang AJP yang mendapat maklumat lanjut bahawa walaupun perkara berkenaan - pendaftaran melangkaui negeri - boleh dilakukan, tapi prosesnya sedikit rumit. Ini kerana status KOSTEM yang masih kecil ditambah keanggotaan yang masih sedikit (di peringkat ini kalau diikutkan KOSTEM hampir didaftarkan, tapi tersekat dek maklumat yang baru diperolehi itu).

Berdasarkan keadaan semasa, kami memutuskan untuk meneruskan pendaftaran menerusi perancangan asal, iaitu menubuhkan KOSTEM di Sentral. Dan setelah meneliti borang pendaftaran bakal anggota, majoriti yang mengisi borang terdiri daripada mereka yang menetap di Selangor. Sehingga entri ini dicoret, masih kekurangan 10 orang saja lagi mereka yang beralamat di Selangor untuk memenuhi syarat asas penubuhan koperasi seperti digariskan SKM, iaitu 50 orang.

Kod Sumber - (Mungkin) Majalah Pertama Berorientasikan Sumber Terbuka di Tanah Air

Dalam perbincangan berkenaan aktiviti perniagaan yang bakal dilakukan KOSTEM, pelbagai idea diberi. Salah satu adalah penerbitan majalah berkenaan sumber terbuka. Idea disepakati, dan setelah sesi undian, nama cadangan bagi majalah yang ingin diterbitkan dalam bahasa Melayu itu adalah Kod Sumber.

Mock up kulit depan majalah yang telah dijayakan oleh ApOgEE

Kod Sumber pada asasnya difokuskan kepada pengguna pertengahan, di mana, lebih bernada teknikal. Dek kerana sudah banyak majalah berkaitan IT yang menjurus kepada pengguna akhir di pasaran, kewujudan Kod Sumber diharapkan dapat menyegarkan industri khususnya berdomain sumber terbuka. Antara sasaran pembaca termasuklah pentadbir sistem, tenaga pengajar, juruteknik, pengatur cara (sekadar menyebut beberapa nama). Namun bukanlah bermakna orang bukan teknikal tidak berpeluang untuk memiliki majalah. Perkongsian ilmu itu lebih penting, bukan..

Di samping itu Kod Sumber - sekiranya direalisasikan - boleh menjadi platform bagi mereka yang terlibat dalam sumber terbuka mencari peluang. Maksudnya, kalau anda menjual PC dan laptop yang dipra pasang sistem pengoperasian GNU/Linux, anda boleh mengiklankan produk anda dalam Kod Sumber. Atau anda terlibat dalam khidmat nasihat serta serta konsultan, Kod Sumber boleh menjadi platform anda mendapatkan prospek. Atau dalam kata lain,

"Hey, kita dah ada port la nak bersuara!!"

Apa Tunggu Lagi, Eh

KOSTEM telah memulakan langkah pertama. Selepas itu, langkah kedua dan seterusnya akan terus diayun. walaupun kami tahu, perjalanan bukanlah semudah dijangka, tapi berbekalkan kudrat yang ada, agenda akan terus dipikul. Dan apa yang membuat KOSTEM terus melangkah adalah anda - KOMUNITI.

Jika anda tinggal di Selangor, dan anda berminat dengan KOSTEM, sila isi borang anggota pengasas KOSTEM di http://bit.ly/n3I5p2. Rujuk wiki atau lawati halaman Facebook KOSTEM untuk mengikuti informasi terkini. Sertai mailling list KOSTEM jika anda ada sesuatu yang ingin dikongsi untuk kebaikan bersama.

Oh ya, sebelum terlupa, salam Syawal 1432H :)

4 comments:

  1. orang yang tinggal di kuala lumpur tak boleh ke?sayang la gitu

    ReplyDelete
  2. Kalau boleh 3 kawasan (KL, Selangor, Putrajaya) nak disatukan. Tetapi menurut SKM, Kawasan tersebut terpisah dari segi operasi. Maknanya KL dan Putrajaya dibawah Wilayah Persekutuan.

    Bila terlibat dengan benda-benda legals ni, kena akur sikit..

    ReplyDelete
  3. isi aje, mungkin tak dapat nak join dulu sebab luar Wilayah/Selangor, tapi tak salah ramaikan ahli.

    ReplyDelete

Terima kasih atas respon..

Quartz OS: Material Design + Linux = Awesome

Konsep Material Design pertama kali diperkenalkan oleh Google untuk Android 5.0 Lollipop. Nampaknya, ada developer yang berminat untuk ...