Monday, December 20, 2010

Buku komputer dalam Bahasa Malaysia - Renaissance yang tertangguh

Ilmu yang tidak ditulis akan lenyap.
Bahasa yang tidak ditulis tidak akan wujud.
Sesiapapun akan bersetuju dengan 2 frasa di atas. Bersetuju bukan kerana ia ditulis oleh saya atau bukan kerana atas dasar ikut-ikut orang. Tetapi kita bersetuju dengan 2 frasa di atas kerana kita mempunyai cukup bukti dan ianya selari dengan logik akal yang waras.

Ketika saya menyuarakan hasrat untuk menulis buku ubuntu dalam Bahasa Melayu tiba-tiba kawan saya melontarkan satu pertanyaan.

"Untuk apa menulis dalam bahasa melayu? Bukankah perkara berkaitan IT lebih senang ditulis dalam Bahasa Inggeris?"

Ya, benar. Mereka berkata, Bahasa Inggeris adalah bahasa kepada dunia IT. Sesiapapun mengangguk dengan "fakta" ini. Namun sejarah tidak pernah lupa bahawa ilmu sains perubatan, astronomi, matematik, kimia semuanya bukan berasal dari Bahasa Inggeris. Semua ilmu itu berasal dari peradaban Islam yang telah mencetuskan Renaissance di eropah sehinggalah orang eropah terpaksa belajar bahasa arab untuk menguasai ilmu pengetahuan yang kemudiaannya dibawa pulang ke eropah. Mereka membangunkan ilmu itu, ditulis ke dalam bahasa mereka sehingga sekarang merekalah yang menguasai ilmu itu samada dari segi kemajuan hinggalah kepada bahasa.

"Ilmu IT dalam Bahasa Inggeris sudah tak perlu ditulis. Sudah terlalu banyak buku IT di pasaran ditulis dalam Bahasa Inggeris. Adakah ianya telah mengubah sesuatu dalam masyarakat kita?"

Apabila saya dijemput untuk menulis buku berkenaan ubuntu oleh PTS Netmedia, saya merasakan seolah-olah ianya satu peluang yang sangat tepat pada masanya.

Ketika ini, kebanyakkan masalah berkaitan penterjemahan istilah IT dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu berpunca daripada kurangnya buku IT ditulis ke dalam Bahasa Melayu. Saya ulangi frasa di atas, "Bahasa yang tidak ditulis tidak akan wujud".

Natijahnya? Apabila kita ketawa "joystick" ditasfsirkan sebagai "kayuria atau kayu bedik", "by default" ditafsirkan sebagai "secara lalai" dan pelbagai lagi tafsiran yang "kepelikan" itu wujud kerana betapa tidak biasanya kita menggunakan istilah IT dalam bahasa ibunda sendiri. Kita menganggap tafsiran itu sepatutnya tidak wujud, atau perlukan tafsiran lain yang lebih praktikal dari segi "feel" dan kejituan. Namun sebenarnya kita sedang menghadapi fenomena bahasa sendiri yang tidak wujud! Perasankah kita akan hakikat itu?

Pada pendapat saya, blog ini dikunjungi ramai cendiakawan dalam bidang IT dan atas sebab itu juga artikel ini ditulis disini. Bukan untuk melontarkan bom asap ketengah-tengah lapangan manusia, mengharapkan semua orang buntu mencari udara yang segar. Tetapi untuk melontar satu topik perbincangan yang sewajarnya kita mula sedar akan kesilapan-kesilapan hasil daripada minda kita yang telah terjajah.

Saya mengharapkan agar selepas ini munculnya ramai penulis yang sudi menulis dan berkongsi ilmu IT mereka dalam Bahasa Melayu ke arah memandaikan masyarakat Malaysia dengan IT dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sekiranya anda melihat dalam satu senarai bahasa, alangkah bangganya sekiranya senarai tersebut mempunyai pilihan bahasa kebangsaan negara dan alangkah hampanya apabila bahasa kita tidak ada dalam senarai. Apa yang ada hanyalah Bahasa Indonesia dan Malayalam...dan kedua-duanya tidak menyimpan identiti bumi kita yang merdeka.

8 comments:

  1. tahniah. semoga berjaya. buku2 IT bermutu dlm basa melayu mmg susah nk cari.

    ReplyDelete
  2. Proses POST semasa boot dalam bahasa melayu dipanggil 'Swauji Pasang kuasa' pernah dengar tak?

    ReplyDelete
  3. Yang penting, kena berani dalam menggunakan istilah dan perkataan dalam bahasa Melayu untuk proses terjemahan dan lokalisasi. Sekiranya benda tu betul dan banyak digunakan, ianya pasti jadi ikutan kemudian.

    Istilah yang paling tepat bagi 'default' ialah 'asal', dan bukannya 'lalai'.

    ReplyDelete
  4. Natijahnya? Apabila kita ketawa "joystick" ditasfsirkan sebagai "kayuria atau kayu bedik", "by default" ditafsirkan sebagai "secara lalai" dan pelbagai lagi tafsiran yang "kepelikan" itu wujud kerana betapa tidak biasanya kita menggunakan istilah IT dalam bahasa ibunda sendiri. Kita menganggap tafsiran itu sepatutnya tidak wujud, atau perlukan tafsiran lain yang lebih praktikal dari segi "feel" dan kejituan. Namun sebenarnya kita sedang menghadapi fenomena bahasa sendiri yang tidak wujud! Perasankah kita akan hakikat itu?

    ReplyDelete
  5. saya suka ayat ini, membuka minda yang tidur dan terlena

    ReplyDelete
  6. Saya benar-benar setuju mengenai perkataan default dalam terma IT adalah 'asal' bukan lalai..Saya agak pelik kenapa menggunakan perkataan lalai digunakan. Adalah lebih tepat 'secara azali" digunakan untuk perkataan by default..walaupun azali asalnya perkataan arab tetapi ia lebih tepat mentafsirkan perkataan by default dalam terma IT.. dan dalam bahasa melayu itu sendiri banyak perkataan yang dipinjam dari bahasa arab atau bahasa-bahasa lain.. Jadi kalau dalam bahasa Melayu tidak ada perkataan yang tepat mentafsirkan sesuatu term dalam IT kenapa tidak menggunakan bahasa arab cthnya yang lebih tepat dan boleh diterima oleh kebanyakkan orang melayu...atau kita boleh guna bahasa melayu secara sepenuh dengan menggunakan perkataan "secara asal..

    Persoalan: Adakah ahli bahasa DBP tidak peka ilmu IT atau Ahli IT tidak peka bahasa melayu?

    ReplyDelete
  7. Salam. Saya juga sedih melihat fenomena tidak bersemangatnya masyarakat kita memperluas, mendukung, menyumbang kepada penggunaan BM dalam apa jua bidang, bukan hanya IT. Namun, ada banyak isu kekurangan dalam BM yang perlu kita akui. Kekurangan kosa kata baru, ketidakseragaman hukum imbuhan, perkataan terjemahan ke BM yang lebih panjang dari yang asal (kadang-kadang yang asalnya 1 perkataan jadi 2, atau lebih). Juga aturan adjektif dan kata nama yang terlalu tegar, dan kesulitan menterjemah kata sifat untuk kata kerja (adverb) dengan ringkas, dan lain-lain lagi. Jika adalah kumpulan penggerak perluasan BM, isu-isu ini perlu diteliti sebelum melepaskan kosa kata baru yang akhirnya ditinggalkan kerana susah dibaca, diamalkan. Penggiat BM boleh gigih membidal perkataan dan tatabahasa baru, tapi ingatlah pengguna BM tidak berkongsi sudut pandang yang sama teliti tentang BM. Penggiat berbicara yang mana "patut". Pengguna berbicara yang mana "mudah".

    ReplyDelete
  8. Dapatkan tutorial/e-book percuma dalam bahasa melayu

    https://ms.wikibooks.org/wiki/Pengguna:Mfauzy

    ReplyDelete

Terima kasih atas respon..

Quartz OS: Material Design + Linux = Awesome

Konsep Material Design pertama kali diperkenalkan oleh Google untuk Android 5.0 Lollipop. Nampaknya, ada developer yang berminat untuk ...